~Sepatutnya Kita Tahu Erti Kehidupan~
Allah swt telah menyebutkan bahawa dalam hidup ini Dia akan menguji manusia, berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta dan jiwa. Dan Allah swt memberi kabar gembira bagi orang-orang yang sabar. Ujian boleh datang pada bila-bila masa sahaja, tanpa kita ketahui bentuk, waktu kedatangan, serta besar kecilnya. Kita mungkin mampu meramal akan datangnya sesuatu dugaan, tapi mereka tidak mampu mengetahuinya dengan pasti sehinggalah ujian itu benar-benar berlaku. Masalahnya bukanlah bila kita diberi ujian tetapi bersediakah kita untuk menghadapinya. Setiap hari masalah menghampiri kita dan cuba untuk mengisi masa-masa kita, kita tidak boleh mengelak malah perlu menghadapinya. Ia sebahagian penting dari kehidupan kita, sesuatu yang akan menguatkan diri kita dan mendorong kita untuk menjadi lebih sempurna atau menyedarkan kita dari kesilapan. Kita tidak perlu lari daripadanya, kita hanya perlu mengenali, menghadapi serta menyelesaikannya dan yang penting kita perlu mengambil manfaat dan ikhtibar darinya.
Salah satu perkara penting yang kita perlu ketahui ialah ujian itu tidak hanya berbentuk dugaan atau hal-hal yang tidak menyenangkan. Ia juga datang dalam bentuk nikmat dan kesenangan. Kesenangan juga merupakan ujian? Ya, itulah kenyataannya. Ia dijelaskan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran. Harta dan anak merupakan nikmat dan kurnia bagi setiap manusia. Siapa yang tidak menginginkan keturunan? Namun, Al-Quran menyebut kedua nikmat ini sebagai ujian.
Firman Allah swt di dalam Al-Quran:
"Dan ketahiulah, nahawa harta dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar." (An-Anfaal : 28)
Kekayaan dan Kesenangan hidup di dunia ini juga merupakan ujian. Semua itu merupakan kesenangan hidup di dunia yang boleh jadi, akan menjadikan seseorang itu rugi di akhirat.
Firman Allah swt di dalam Al-Quran:
"Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu, wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik." (Ali-Imran :14)
Boleh jadi ujian kesenangan memberi impak yang lebih besar pada diri seseorang daripada ujian berupa musibah. Kita sering kali ingat pada Tuhannya ketika dia ditimpa kesusahan. Tetapi kita sering kali lupa diri ketika beroleh kesenangan. Saat mendapat kesusahan dia berpaling pada Tuhannya tapi ketika mendapat nikmat dia mengatakan semua itu adalah kerana usahanya sendiri.
Firman Allah swt di dalam Al-Quran:
"Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaran. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." (Az-Zumar : 49)